Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

Monday, March 11, 2013

Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) dari 2013-2025.



Sebelas Anjakan 

1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa:
Kementerian akan melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada tahun 2017. Kementerian akan menimbang pindaan kepada peraturan sedia ada untuk memberikan kelonggaran kepada sekolah mengamalkan jadual anjal. Selain itu Kementerian akan mengkaji kemungkinan melaksanakan laluan pembelajaran pintas selain pendidikan arus perdana, termasuklah membenarkan murid berpencapaian tinggi menamatkan pengajian sekolah menengah dalam masa empat tahun berbanding lima tahun sekarang dan menamatkan sekolah rendah dalam masa lima tahun, berbanding enam tahun. Peperiksaan UPSR pada 2016 akan mengandungi 80% soalan berbentuk pemikiran aras tinggi.

2. Memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris:
Kementerian akan meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris guru dengan memastikan semua 70,000 guru Bahasa Inggeris lulus Cambridge Placement Test (CPT) dalam tempoh dua tahun. Guru yang tidak mencapai standard ditetapkan akan mengikuti latihan intensif. Modul Sastera Inggeris akan diwajibkan kepada murid sekolah menengah. Bagi memantapkan penguasaan Bahasa Malaysia pula, Kementerian akan memperkenalkan kurikulum Bahasa Malaysia yang standard pada peringkat rendah, merangkumi semua sekolah jenis kebangsaan. Dengan perlaksanaan kurikulum ini, Kelas Peralihan di sekolah menengah kebangsaan akan dimansuhkan mulai 2017. Kerajaan juga akan menggalakkan murid mempelajari bahasa tambahan seperti bahasa Cina, India, Tamil, Arab serta bahasa ibunda atau bahasa antarabangsa yang lain.

3. Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai:
Bagi memupuk semangat patriotisme di kalangan murid dalam usaha membina satu identiti nasional yang kukuh dan jitu, Kementerian akan memperkukuhkan Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan elemen Sivik menjelang 2017. Pedagogi untuk Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral juga disemak semula untuk melibatkan lebih banyak aktiviti main peranan (role-play), simulasi, perbincangan dan tugasan dalam kumpulan kecil. Bagi murid bukan Islam, Pendidikan Moral akan mengandungi pemahaman tentang nilai teras semua agama utama di Malaysia. Kementerian juga akan mengkaji membolehkan murid bukan Islam berkongsi kelas yang sama apabila nilai-nilai sejagat diajar.

4. Meningkatkan kualiti guru dan menjadikan profesion keguruan sebagai profesion pilihan:
Kementerian akan mengetatkan syarat kemasukan ke latihan perguruan dengan mensasarkan hanya 30 peratus teratas dari kelompok pelajar cemerlang menyertai profesion perguruan. Bagi guru-guru yang sudah ada dalam sistem, Kementerian akan mengukuhkan pembangunan kerjaya mereka. Guru berprestasi tinggi berpeluang menikmati kenaikan pangkat bermula daripada Gred DG14 sehingga DG54 dalam tempoh yang lebih singkat, iaitu kurang daripada 25 tahun.

5. Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah:
Kementerian akan memperkenalkan kriteria pemilihan pengetua dan guru besar berasaskan kompetensi serta memperkukuhkan proses perancangan penggantian pengetua dan guru besar mulai 2013. Kementerian juga akan menempatkan pengetua atau guru besar cemerlang di sekolah-sekolah luar bandar dan di kawasan-kawasan miskin bandar.

6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan:
Kementerian akan menempatkan Jurulatih Mata Pelajaran Khusus Program Penambahbaikan Sekolah (SISC+) dan Jurulatih Pengetua Rakan Penambahbaikan Sekolah (Si-Partners) secara sepenuh masa di Pejabat Pelajaran Daerah. Jurulatih-jurulatih berkenaan akan memberikan bimbingan secara terus kepada sekolah berprestasi rendah. Satu projek perintis akan dilaksanakan di Sabah dan Kedah mulai Januari 2013 sementara perlaksanaan di seluruh negara bermula Januari 2014.

7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran:
Kementerian akan meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui perlaksanaan 1BestariNet bagi semua 10,000 buah sekolah yang dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung 2013. Dalam masa terdekat, semua murid akan mempunyai akses kepada rangkaian 4G di sekolah yang akan menyediakan landasan untuk perlaksanaan pembelajaran secara interaktif.

8. Mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian Pelajaran:
Struktur organisasi Kementerian akan disusun semula agar fungsi bahagian tidak bertindih dan lebih ramai tenaga kerja akan ditempatkan di PPD yang akan terlibat secara langsung dalam memantau dan mengurus prestasi sekolah.

9. Memperluaskan jalinan kerjasama dengan ibubapa, komuniti dan sektor swasta
Kementerian akan memperluaskan capaian Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS)untuk membolehkan ibubapa memantau kemajuan anak mereka di sekolah secara atas talian. Kementerian juga akan menambah bilangan Sekolah Amanah kepada 500 buah menjelang 2025 dan turut melibatkan kumpulan alumni dan pertubuhan bukan kerajaan sebagai penganjur.
  
10. Memaksimumkan pulangan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan:
Kementerian akan mengaitkan setiap program yang dilaksanakan dengan keberhasilan murid yang hendak dicapai dan merasionalisasi program berimpak rendah setiap tahun, Kementerian akan meningkatkan kecekapan dalam mengurus perbelanjaan dengan memberi keutamaan kepada bidang paling kritikal seperti peningkatan kemahiran dan latihan guru.
  
11. Meningkatkan Ketelusan akauntabiliti awam:
Semua pihak berkepentingan akan mempunyai akses yang tetap dan telus berkenaan tahap kemajuan setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian.  Laporan Tahunan mengenai kemajuan sasaran dan inisiatif pelan ini akan ditertbitkan utntuk tatapan umum mulai 2013.
  

0 comments:

Post a Comment